Selasa, 12 Januari 2016

Perkongsian 30kg Dalam 80Hari di CyberSecurity Malaysia

Assalamualaikum wrt & Salam Sejahtera,

Café ILMU @KMC (21st Session)
Cafe ILMU @KMC
Tarikh :  18th November 2015 (Rabu)
Masa : 11.30 am
Lokasi : Knowledge Management Centre (KMC)
Sharer : Sufian Sulaiman       
Tajuk : 30 kg dalam 80 Hari

CI 21_SUFIAN SULAIMAN.jpg image[6].jpg
  
KMC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penulis Sufian Sulaiman kerana sudi melapangkan masa hadir ke sesi Cafe Ilmu @KMC minggu ini.  Saudara Sufian merupakan seorang jurulatih kecergasan (fitness trainer) yang kini rancak mengendalikan program-program kecergasan untuk organisasi kerajaan dan juga syarikat swasta.   Setakat ini saudara Sufian telah menghasilkan 3 buah buku yang bertajuk ‘Cergas Fizikal Solat Sempurna’, ‘Tips Sihat ke Tanah Suci’ dan yang terbaru dilancarkan pada tahun ini - ‘30kg dalam 80 Hari’.

Jika diperhatikan, tidak ramai orang Islam yang bersenam di gym (gymnasium). Antara alasan yang diberikan ialah malu, segan orang nampak, batas pergaulan, dan juga kod etika pakaian di gym yang tidak sesuai dengan muslim. Pernah bertugas di beberapa gym yang terkenal, saudara Sufian turut merasa tidak selesa dengan suasana, pakaian dan tatacara di gym yang tidak mesra muslim.  Atas dasar itu, saudara Sufian cuba membawa konsep ‘meng’Islam’kan sukan’ dan menyedarkan orang ramai bahawa senaman itu sangat penting dan dituntut dalam agama. Saudara Sufian memulakan langkah menggabungkan fitness, kesihatan dan agama dengan bekerjasama dengan JAKIM untuk menghasilkan buku ‘Cergas Fizikal Solat Sempurna’. Dalam Islam, kesihatan itu bersifat total dan menyeluruh dan salah satu cara untuk kekal sihat ialah melalui sukan.  Dalam Islam, ada beberapa perkara yang perlu kita jaga – Akidah, Nyawa, Maruah dan Kerabat/Keturunan. Menjaga kesihatan itu juga satu AMANAH. Tubuh badan kita ini adalah pinjaman dari Allah swt, maka sewajarnya kita menjaga kesihatan badan kita. Kita tidak boleh dengan sengaja memudaratkan kesihatan kita.

Selain menjaga kesihatan atas dasar amanah, kita perlu ingat bahawa Allah swt menjadikan manusia di atas muka bumi ini sebagai khalifah.  Tanggungjawab kita adalah beribadah kepada Allah.  Jika badan sihat dan cergas, sudah pastilah ibadah dapat dilakukan dengan selesa dan khusyuk.  Perkara ini ditekankan oleh saudara Sufian dalam buku keduanya ‘Tips Sihat ke Tanah Suci’.  Ibadah Haji merupakan ibadah yang bersifat total di mana kita diuji dari segi fizikal, mental dan spiritual.  Bayangkan, suhu di Padang Arafah yang melebihi 40°C mendedahkan para jemaah haji kepada bahaya heatstroke. Ibadah tawaf juga menguji ketahanan fizikal kerana jemaah juga diasak-asak dalam lautan manusia.  Untuk sesi Cafe Ilmu ini, saudara Sufian ingin berkongsi rahsia untuk kuruskan badan.

CI 21_Audience 1.jpg

‘30kg Dalam 80 Hari’ merupakan pengalaman sebenar saudara Sufian dalam membantu seorang gadis (Farhana) yang mahu menurunkan berat badannya. Farhana merupakan seorang yang gemuk/obes dan mempunyai masalah darah tinggi (antaranya berpunca daripada makan suplemen untuk menguruskan badan). Farhana pernah ditahan di wad akibat sakit setelah cuba menguruskan badannya, termasuklah berdiet. Akhirnya Farhana menghubungi Kementerian Belia dan Sukan untuk mendapatkan bantuan dan dari situ Farhana diletakkan di bawah jagaan dan pemantauan saudara Sufian. Hasil teknik, kaedah, strategi dan tip yang diberikan, berat badan Farhana turun sebanyak 37kg dalam masa 72 hari (digenapkan menjadi 30 kg dalam 80 hari).

Mengapa orang tidak bersenam? Sebab paling utama adalah MALAS dan KEKANGAN. Mengapa malas dan memberi banyak alasan (kekangan masa, komitmen, wang ringgit, penat).  Semua ini hanya boleh diselesaikan dengan satu perkara sahaja –Knowledge! Orang ramai tidak bersenam kerana tiada ilmu tentang kesihatan dan kurangnya penguasaan kemahiran bersenam. Saudara Sufian memperkenalkan FUN theory kepada peserta di bawah pemantauannya.  Jadikan senaman itu sesuatu yang menyeroronokkan. Kalau sesuatu perkara itu dilakukan secara paksa, ianya takkan menjadi.

Untuk kurus, terdapat 2 cabang:
1.    Kardiovaskular
2.    Maskular (strength)

Rata-rata, semua orang pasti inginkan badan yang sihat dan cergas.  Kurus tu satu bonus.  Tapi menjadi kurus bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.  Hanya ada 2 cara untuk menurunkan berat badan:
1.    Mengawal pemakanan
2.    Bersenam

Melalui makanan, kita mengawal pengambilan kalori  dan melalui senaman, kita menguatkan kardiovaskular. Senaman merupakan aktiviti kecergasan fizikal yang dilakukan secara berstruktur dan sistematik. Bersenam tidak semestinya di gym.  Kita boleh jadikan alat-alat di rumah dan pejabat sebagai ‘exercise tools’, contohnya meja dan kerusi. Terdapat beberapa trik dan tips yang dikongsikan oleh saudara Sufian. Bagi anda yang gemar berjogging, adakalanya terasa sangat malas untuk menghabiskan satu pusingan (tasik) kerana jaraknya terlalu jauh. Anda boleh memendekkan jarak ulang-alik tersebut (teknik repetition). Ambil jarak yang pendek dan lakukan jogging ulang-alik.  Cara ini amat sesuai untuk anda yang membawa bersama anak-anak untuk bersenam.  Di samping bersenam, kita sentiasa dekat dengan anak dan dapat memantau mereka. Jika di gym pula, jangan tumpukan aktiviti anda hanya pada satu alat sahaja (contohnya set target di treadmill mengikut kilometer atau kalori yang hendak dibakar).  Ini akan menimbulkan kebosanan dan akhirnya anda jadi tidak seronok.  Lakukan kombinasi aktiviti -  basikal, treadmill, rowing, stepper.  Tempoh rehat di antara aktiviti jangan melebihi 1 minit kerana anda perlu menjaga kadar denyutan jantung dan juga menjaga paras hormon.  Inilah kesilapan yang sering dilakukan bagi mereka yang tiada ilmu pengetahuan dalam bersenam.  Masa rehat yang diambil agak panjang, untuk ke tandas dan minum air.  Kesilapan lain termasuklah meminum minuman isotonik dengan banyak atas alasan untuk menambah tenaga.  Minuman isotonik sebenarnya mengandungi kandungan gula yang tinggi.

Untuk kurus, perbanyakkan “cross-fit training” antara aktiviti kardiovaskular dan latihan bebanan (muscular endurance).  Sebagai contoh, jogging untuk beberapa minit dan kemudian buat jump jack.  Gerakan seperti ini membantu anda membina otot kaki dan pada masa yang sama untuk kesihatan jantung. Contoh lain “cross-fit training” adalah naik turun tangga dan kemudian disusuli dengan ‘crunch’ atau ‘sit up’.

Ada juga yang bersenam untuk kurus tetapi masih tidak turun berat badan.  Mengapa? Jawapannya : Makanan, Tidur dan Diminishing Time (Masa Luput).  Dari segi pemakanan, sebenarnya tidak perlu diet setiap hari.  Ada hari-harinya anda boleh makan seperti biasa. Menguruskan badan melibatkan pembakaran lemak atau disebut juga sebagai pembakaran/penggunaan tenaga.  Untuk mempercepatkan penggunaan tenaga, anda perlu mengawal karbohidrat, mengambil vitamin B & C, dan mengambil mineral zink dan besi (iron). Bahan-bahan ini larut dalam air dan mempercepatkan lagi pengeluaran lemak dan karbohidrat sebagai tenaga. Akhir sekali, sebelum berlatih, makanlah buah dahulu. Nak tahu lebih lanjut, anda perlu membaca buku ini.

Nak kurus bukannya kerja mudah! Namun dengan bantuan ‘30kg Dalam 80 Hari’ ini segalanya menjadi mudah kerana anda diajarsecara 'step by step', 'procedure by procedure' oleh pakar kecergasan.  Membacanya umpama anda mempunyai fitness trainerperibadi. Dengan kos yang sangat minimum, sesiapa sahaja boleh melakukannya asalkan tiada perkataan ‘putus asa’ dalam kamus kehidupan. Anda pasti berasa berbaloi tatkala melihat hasilnya nanti. Jom kurus dan sihat! Kepada yang ingin menghubungi saudara Sufian untuk membaca tips kurus dan sebarang pertanyaan mengenai program kesihatan yang beliau kendalikan, kami sertakan butiran seperti di bawah:

FB: gemuk2kurus
FB: sufiansulaiman
IG: AnaSufi

Terima kasih saudara Sufian dan juga ucapan terima kasih kepada semua yang sudi hadir. Sehingga bertemu lagi di dalam Café ILMU akan datang, jaga diri dan hiasi peribadi. J

CI 21_Audience 2.jpg
CI 21_Audience.jpg
 CI 21_Sufian w Alif.jpg
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...